Buat semua ibu-ibu di luar sana, " Selamat hari Ibu ".
Pada saya setiap hari adalah hari ibu. Setiap hari ibu perlu diberi penghargaan. Pengorbanan ibu amat besar. Biasanya seorang wanita apabila bergelar ibu akan lebih memahami perasaan ibunya. Bagaimana susahnya mengandung, bersalin dan membesarkan anak-anak. Begitu juga lelaki, perasaan susah menjaga anak-anak akan mengingatkan kepada ibunya bagaimana susah menjaganya ketika kecil.
Semasa saya kecil, saya bebas bermain-main. Biasa lepas sekolah saya keluar bermain dan petang balik ke rumah. Namun semakin meningkat dewasa, ibu bapa saya mula ketatkan peraturan. Saya perlu balik sebelum 7 malam. Dan mereka selalu mengawasi kegiatan saya, memastikan saya belajar sehingga ke universiti dan mendapat pekerjaan yang baik. Kini saya sebagai ibu, saya mula memahami apa yang mereka lakukan. Semua kerana kasih sayang dan berkat didikan mereka, saya berjaya dalam hidup saya, serta Alhamdulillah mencapai impian saya. Saya banyak ambil iktibar dari kehidupan ibu bapa saya. Mereka juga minat berniaga. Perniagaan saya juga banyak didorong oleh mereka.
Cabaran masa kini semakin mencabar. Anak-anak membesar dalam suasana yang penuh pancaroba. Pendedahan mereka lebih luas dan terbuka. Begitu juga dari segi keselamatan. Agak sukar bagi saya memberikan kebebasan seperti yang pernah saya kecapi ketika kecil. Saya juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan untuk membesarkan mereka. Kerana risau dengan gejala sosial yang melanda, saya sanggup berhenti kerja dan membuat perniagaan sendiri untuk memastikan saya dapat mengawasi anak-anak saya seperti apa yang dilakukan oleh ibu saya. Jika dahulu, bapa bekerja seorang sudah cukup untuk menyara. Namun kini perlu kedua-duanya bekerja. Ini adalah antara cabaran masa kini.
Namun apa sekali pilihan kita, yang pasti kita inginkan yang terbaik untuk anak-anak kita. Jadi dengan kesibukan kita, jangan kita abai tanggungjawab kita dan menganggap anak-anak kita akan tahu dengan sendiri tanggungjawab mereka. Adakan 'quality time'. Pastikan dapat makan malam bersama setiap hari. Kerana ketika ini kita boleh berbual-bual dan bertanya jika ada sebarang cerita untuk dikongsi atau masalah.