Sempena hari raya esok, saya dan keluarga Mama N Damia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha.
Anak kembar saya lahir raya ke 3. Senang nak ingat tarikh dan bulan islam kelahiran mereka. Kadang-kala kami sambut 2 kali setahun hari jadi mereka.
Tajuk korban, luas maknanya. Tajuk ni sesuai dengan esok kita nak menyambut Hari Raya Adiladha. Kebetulan semalam ada seorang pelanggan saya datang bertanya tentang pengalaman dan perniagaan saya. Memang ramai ibu yang bekerja makan gaji berminat untuk membuat perniagaan sendiri dan menjaga anak-anak.
Bergantung pada definisi masing-masing sebenarnya. Ada berkorban bekerja agar dapat memberi peluang pembelajaran dan kehidupan yang lebih bagus untuk anak-anak terutama jika suami seorang bekerja tidak mencukupi. Saya sendiri dahulu tidak berhenti kerja jika saya dapati suami saya tidak mampu menyara kami semua. Saya mempunyai niat membuat perniagaan, cuma tidak pasti sama ada berjaya atau tidak. Jadi penting saya pastikan suami saya tidak hadapi kesukaran menyara kami. Berniaga juga bukan terus berjaya. Saya ambil masa hampir setahun untuk melihat hasilnya. Langkah awal sebelum berhenti kerja, saya sudah simpan wang yang mencukupi untuk membuat perniagaan. Dan saya juga beli barangan keperluan yang saya ingin pakai di rumah jadi tidak membebankan suami kemudian hari. Yang murah-murah tu boleh minta suami tapi yang mahal tu saya senang saya beli sendiri.
Pengorbanan bila mula berhenti kerja, banyak yang perlu dilakukan. Contohnya dah biasa pegang duit banyak, tiba-tiba tiada pendapatan tetap. Mula-mula banyak yang terpaksa saya tinggalkan. Saya korbankan karier saya yang sedang meningkat ketika itu, baru naik pangkat. Teringat saya ketika itu, mak dan ayah saya terus datang jumpa saya bila saya bagi tau saya dah hantar surat berhenti kerja. Namun Alhamdulillah, adik bongsu saya juga telah berhenti kerja makan gaji dan bekerja sendiri. Kini menjadi contoh petani moden dan diwawancara untuk program Selamat Pagi Malaysia minggu lepas. Kami adik-beradik semua belajar sehingga ke institut tinggi. Melihat kejayaan saya, mak dan ayah saya tidak risau lagi jika adik-adik saya memilih kerja sendiri.
Saya tetapkan matlamat untuk mendapat keuntungan dari perniagaan sama seperti gaji terakhir saya pada tahun ke berapa dan perlu mendapat lebih pada tahun ke berapa. Sebelum tempoh itu perlu berkorban. Saya tahu apa matlamat saya dan buat secara realistik. Mungkin ada nak jadi jutawan dalam tempoh singkat dan dalam masa yang sama nak jaga anak, jaga keluarga. Boleh! Namun usaha dan pengorbanan juga perlu setinggi cita-cita.
Saya sangka senang jaga anak sendiri. Mudah saya nak mendidik mengikut acuan saya. Dahulu terpaksa tutup mata ikut cara penjaga, nak cerewet sangat pun tak boleh. Sebenarnya menjaga anak sendiri juga perlu pengorbanan. Saya dapati saya lebih perlu banyak skil parenting untuk menjaga dan mendidik mereka. Apabila anak-anak dengan ibu bapa mereka sendiri, mereka ‘agak manja’ dan ada kala sukar mengikut kata-kata kita berbanding dengan penjaga yang menjaga mereka. Jika bekerja mungkin malam sahaja jumpa, waktu siang kita dah serah pada penjaga mendidik mereka. Jadi kita adakan masa berkualiti bersama mereka dan mereka juga amat hargai masa terhad itu.
Walau apa pun, saya gembira kehidupan sekarang. Tadi saya tanya anak-anak saya. Suka masa mama kerja duduk dengan penjaga atau keadaan sekarang. Jawapannya, walaupun saya agak garang bila menjaga mereka dan menyuruh mereka membuat sendiri kerja rumah mereka lebih suka sekarang. Saya banyak tekankan apa yang betul apa yang salah mengikut norma hidup dan norma islam. Kadang mereka pula menegur saya jika saya membuat silap dan saya pula terpaksa minta maaf. Namun itu yang saya kehendaki. Cuma bab-bab nakal dan lasak tu, memang anak-anak saya masih belum berubah!
Ada kala kena berkorban tidak mencapai/mendapat semua yang kita kehendaki.